Mar 1, 2010

Syafia Humairah, syurgalah tempatmu...

Syafia Humairah (gambar kecil).
Ibu Syafia, Norhanim Aziz


Salam dan aloo untuk semua....post saya kali ni tak ada sebarang kaitan dengan makanan/masakan. Saya cuma nak lahirkan rasa sedih dengan nasib yang menimpa allahyarham Syafia Humiarah - kanak-kanak malang berusia tiga tahun yang meninggal dunia akibat didera teman lelaki ibunya sendiri.

Ajal maut di tangan tuhan yang Esa dan Dia jugalah yang lebih mengetahui hikmah di sebalik kejadian yang sangat memilukan ini. Benar, kita mengutuk sekeras-kerasnya sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung mendera anak kecil ini. Bagaimanapun bagi saya, kematian Syafia mendedahkan kita kepada lebih banyak sifat tidak bertanggungjawab dan serta  tidak peduli mereka yang ada kaitan dengan  anak kecil malang ini. Lebih menyedihkan lagi bagi saya adalah mengenai nipisnya sifat keibuan ibu allahyarham sendiri - Norhanim Aziz.

Semalam ketika TV3 mewancara Siti Norhanim, tiada langsung rasa sedih dan kesian terhadap ibu muda ini. Saya sebaliknya merasa  marah yang amat sangat kepada Norhanim. Bagi saya Norhanim perlu memikul tanggungjawab terhadap kematian anaknya sendiri. Dalam erti kata lain Norhanim juga harus dipersalahkan atas tragedi menyayat hati ini. Ini bukan soal menunding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi bagi saya Norhanim harus bertanggungjawab kerana membiarkan Syafiah didera secara berterusan.

Kita boleh mengaitkan dengan pelbagai faktor yang mungkin mendorong kepada masalah moral Norhanim - institusi keluarga atau sistem sokongan kekeluargaan (jiran, sahabat, sedara mara terdekat) yang rapuh, tetapi  adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan apabila kita memekakkan telinga dan membutakan mata membiarkan anak kecil diperlakukan sebegitu rupa.

Hasil bedah siasat mendapati bukan sekali anak kecil ini didera, sebaliknya telah berulang kali. Ketika Syafia menanggung azab didera, di mana Norhanim!!? Adakah Norhanim hanya menutup mata atas apa yang berlaku terhadap darah dagingnya sendiri.

Saya juga tertanya-tanya, tidak pernahkah anak kecil ini dibelai  ibunya (...kalau boleh dipanggil ibu!!) atau sekurang-kurang kalau tidak pernah dibelai sekali pun,  tak pernahkah Norhanim memandikannya, memakaikan baju, membedakkan atau menidurkan anak kecil ini. Dan ketika itu semua dilakukan,   buta sangatkah Norhanim sehingga tidak dapat mengesan kesan-kesan penderaan di tubuh anak kecil ini. 

Menurut polis, hasil bedah siasat menemui kesan luka, lebam seluruh badan selain kesan PENDERAAN LAMPAU.

``Terdapat kesan-kesan kecederaan yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa..'' - Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid (Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor)

Bagi saya Norhanim bukan sahaja tiada sifat keibuan, tetapi lebih teruk lagi dia tiada langsung sifat kemanusiaan. Sanggup membiarkan anak sekecil itu menanggung azab penderaan. Lebih menyakitkan hati lagi ialah dia sendiri sedar teman lelakinya itu panas baran, kurang sopan dan kerap mabuk. Lebih teruk lagi, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek (teman lelaki Norhanim) positif dadah jenis ganja!

 Sekali lagi kita boleh bertanya di mana sifat keibuan dan kemanusiaan Norhanim sehingga sanggup membiarkan Syafia berada di bawah jagaan lelaki yang mempunyai sifat-sifat buruk sedemikian.

(Norhanim mempunyai hubungan dengan suspek sejak lebih enam tahun lalu. Malah menurut akhbar, kematian Syafiah turut membongkar rahsia hubungan haram antara Norhanim dengan suspek. Norhanim masih bersuami. Suaminya kini berada di Penjara Sungai Buloh kerana terlibat dengan kes buduh sejak 2006.)

Apa yang berlaku terhadap anak kecil ini juga mendedahkan kepada kita betapa Syafia langsung tidak dipedulikan dan tidak dikehendaki oleh datuknya sendiri. Saya sedih membaca kenyataan datuknya sendiri:

``Saya pernah melihat kesan parut dan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok di kaki dan bawah dagu cucu saya.
``Namun, setiap kali bertanya, Syafia Humairah hanya mendiamkan diri,''

Menurut datuknya lagi, Syafia juga akan menyembunyikan diri dalam semak di sekitar rumahnya bagi mengelak daripada ditemui suspek.

Kita pastinya tertanya-tanya kenapa datuk Syafia tidak langsung terdetik dihatinya untuk melindungi anak kecil ini atau sekurang-kurangya mengambil tahu kenapa cucunya itu mempunyai kesan-kesan parut ditubuhnya. Adakah hanya kerana Syafia Humairah yang berusia TIGA tahun itu mendiamkan diri datuknya menganggap tidak ada apa berlaku? Sedangkan dia sendiri melihat kesan parut dan luka pada cucunya itu.
 Bagi saya sikap mendiamkan diri datuk Syafia adalah satu tindakan kejam yang harus dihukum!.

Saya juga kesal sikap jiran dan juga mereka yang melihat kejadian anak kecil ini dipijak, dicampak  dan diperlakukan seperti bukan manusia sebelum kematiannya. Bermakna, jika Allah tidak mengambil nyawa kanak-kanak malang ini, Syafiah akan terus menderita menangung kesakitan tanpa siapa yang tahu. Tiada siapa yang berani melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa. Masing-masing hanya bersuara setelah Syafia tiada.

Bagi saya, ibu Syafia - Norhanim, datuknya sendiri, malah mereka yang pernah melihat kesengsaran anak kecil ini sebelum dia meninggal dunia, tidak layak meratapi pemergian allahyarham. Bagi saya,  menangis air mata darah sekalipun tidak mampu menebus dosa-dosa mereka yang memekakkan telinga dan membutakan mata melihat Syafia menanggung azab penderaan sehingga menemui ajal.

Syafia, pergilah dengan aman dan tenang menemui Allah di syurgaNya. Sesungguhnya Dia  lebih menyanyangimu.